Ramai orang telah tertipu dengan bayang-bayang ini. Mereka melihat diri mereka jauh lebih besar dari keadaan sebenarnya, lalu mereka memandang orang lain lebih kecil dari mereka. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak diberi kedudukan dan tidak pula masyhur di kalangan masyarakat.
Perasaan ini turut memberi kesan kepada tindak tanduk mereka, sehingga mereka sibuk untuk melakukan sesuatu yang dapat membuktikan kelebihan mereka, serta menjauhkan diri daripada apa jua perkara yang dapat memperlihatkan kejahilan mahu pun keperluan mereka kepada ilmu pengetahuan.
Justeru itu anda akan melihatnya merasakan dia adalah dari kalangan orang yang berilmu, malah membariskan dirinya setaraf dengan ulama, sedangkan dia langsung tidak pernah berpenat lelah untuk membaca, menghafal atau mengkaji sesuatu ilmu. Juga tidak pernah pun juga walau sehari mengambil jalan orang yang menuntut ilmu. Malah dia telah ditolak masuk ke alam kemasyhuran untuk menempuh panas teriknya tanpa apa-apa persediaan.
Apabila dia ditanya sesuatu perkara, anda melihatnya menjawab tanpa sesuatu kefahaman, tetapi semata-mata untuk menafikan kejahilannya. Seandainya seseorang membalas balik perkataannya, dia akan terus naik berang. Seandainya dia berhujjah ataupun berdebat, dia sangat tidak suka ditentang. Seandainya diperingatkan, dia menolak nasihat tersebut. Dia tidak melihat dirinya melainkan melalui sebuah kanta pembesar, sambil membayangkan bahawa orang lain jauh lebih kecil darinya.
Individu seperti ini sangat cepat terbongkar identitinya. Dia sebenarnya telah membinasakan dirinya sendiri. Belum sempat mengambil peluang untuk membentuk peribadinya, tiba-tiba sahaja dia mendapati dirinya sudahpun berada dipuncak, terus disilau oleh sinar terik kemasyhuran umpama teriknya sinaran mentari. Dia dikelilingi orang ramai dan disebut-sebut orang, sehingga segala perhiasan duniawi datang melingkari hidupnya. Lalu iapun tidak lagi menemui waktu untuk mendidik hatinya sendiri, ataupun untuk membersihkan nafsunya atau memberi cahaya ilmu kepada akalnya.